March 20, 2008

Ellie Lakon Watak Kafir


Pelakon Ellie Suriaty memang diakui sebagai seorang pelakon yang hebat. Apa sahaja watak yang dilakonkannya sentiasa menjadi dan meninggalkan kesan. Sebabnya dia sangat komited dengan kerjanya sebagai pelakon baik di filem, drama atau di atas pentas teater.

Cabaran terbaru Ellie ialah melakonkan watak Hendon, seorang wanita kejam yang kafir dan menentang perjuangan Nabi Muhammad s.a.w dalam menyebarkan syiar Islam dalam teater Muzikal Sirah Junjungan arahan Erma Fatima. Teater itu akan dipentaskan mulai 19 hingga 23 Mac ini di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur. Ellie akui debaran dan rasa takutnya lain macam ababila berlakon watak itu. Ada dialog yang mengatakan Islam ialah ajaran yang tidak baik.

"Memang takut apabila melakonkan watak ini. Tapi saya anggap ia sebagai cabaran dan memikirkan watak hitam Hendon akhirnya menggambarkan kehebatan perjuangan Nabi Muhamamd s.a.w. Saya hanya berlakon dan berharap ia tidak menjadi isu sensasi apabila dipentaskan nanti.

"Kami telah berbincang dengan orang yang pandai agama dan meminta pandangan mereka. Malah dialog saya juga telah ditapis agar tidak menjadikan saya terpesong akidah semasa berlakon," kata Ellie lagi.

Ellie juga akui setiap kali memulakan latihan menjiwai watak Hendon, dia berdoa banyak-banyak untuk mententeramkan hatinya yang terpaksa mengucapkan dialog yang menentang ajaran Islam.

Sementara itu Ellie sekarang dalam usaha menguruskan badan. Semuanya gara-gara tawaran berlakon sebuah filem. Menurut Ellie dia didatangi penerbit yang mahukan dia menaikkan berat badan untuk satu watak dalam filem.

Setelah badannya naik 10 kg, akhirnya penerbit berdolak-dalih dan tidak jadi menawarkan watak tersebut kepadanya. Kini dia kembali berdiet untuk kembali kepada bentuk badan asalnya. Itulah asam garam jadi artis. Elok-elok badan sudah naik, tawaran tak jadi pula. Sabar ajalah Ellie.

"Saya ada tonton aksi saya semasa berisi dalam sitcom Senario baru-baru ini.. Aduh macam tak percaya tengok saya besar begitu. Sebab itulah saya lebih bersemangat untuk kembali langsing," kata Ellie lagi.

No comments: