March 20, 2008

Alasan 6ixth Sense tukar nama


KUMPULAN 6IXTH SENSE.


SETELAH sekian lama dikenali dan selesa dengan nama asal, kumpulan 6ixth Sense yang dibarisi lima anak muda berusia lingkungan 20-an diberitakan akan bertukar nama.

Tirta, itulah nama baru kumpulan itu yang diambil dari perkataan bahasa Sanskrit yang membawa maksud `air’.

Biarpun hanya bertukar nama kumpulan, kesemua anggota itu sepakat mengekalkan vokalis utamanya dari Indonesia, Adie.

Pertukaran 6ixth Sense kepada Tirta dilakukan ekoran kumpulan itu sudah pun menembusi pasaran di Indonesia menerusi album kompilasi edaran EMI.

Menurut Adie, penggunaan Tirta adalah bagi mengelak kekeliruan di kalangan peminat di Indonesia berikutan terdapat sebuah kumpulan yang mempunyai nama sama dengan 6ixth Sense di sana.

“Ekoran itu, kami dinasihatkan oleh produser iaitu Mujahid supaya menukar nama supaya peminat tidak keliru.

“Namun begitu, ketika ini, Tirta hanya digunapakai di Indonesia manakala penggunaannya di Malaysia, masih belum diputuskan lagi,’’ katanya ketika ditemui pada pelancaran Saturday Centre Stage Live 2008 di Funtheque Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas Adie, pihaknya akan mengadakan sidang media tidak lama lagi berhubung keputusan sama ada penggunaan nama 6ixth Sense di negara ini dikekalkan atau sebaliknya.

“Kalau boleh kami tidak mahu menukar nama sebab sudah biasa dengan nama 6ixth Sense. Tapi, seandainya kata sepakat dicapai untuk kami menukar nama, kami akan berusaha untuk mempopularkan nama baru itu.

“Album ketiga juga akan keluar tidak lama lagi dan berkemungkinan ia juga bakal menggunakan nama Tirta,’’ katanya.

Tirta popular di Indonesia

Peluang menembusi pasaran di Indonesia pada Januari lalu membuatkan 6ixth Sense yang menggunakan nama Tirta begitu teruja.

Kata Adie, ini disebabkan dua buah lagunya iaitu Tanpa dan Tak Bisa Memilih telah berjaya memasuki carta muzik di beberapa buah stesen di negara terbabit.

“Selama berminggu-minggu lagu kami memasuki carta dan ia sesuatu yang membanggakan,’’ ujar Adie.

Atan ganti Airbone

Bercakap mengenai keanggotaan 6ixth Sense pula, salah seorang pemain gitar keduanya iaitu Airbone sudah pun menyatakan hasrat untuk tidak lagi bersama dengan kumpulan itu sebaik mendirikan rumah tangga baru-baru ini.

Tempat yang dikosongkan oleh Airbone bagaimanapun kini diisi oleh ahli baru iaitu Shahrul Effendy atau lebih mesra dengan panggilan Atan.

Atan juga akan tampil menerusi album ketiga kumpulan berkenaan.

Ditanya mengenai keserasiannya dengan 6ixth Sense, Atan menjelaskan, hubungannya dengan anggota-anggota lain kumpulan itu sudah lama terjalin.

“Kami kawan rapat. Saya juga banyak mengikuti mereka membuat persembahan di mana-mana,’’ jelas anak muda berusia 26 tahun itu.

Selain Adie dan Atan, 6ixth Sense turut dianggotai oleh Gjie, Safwan serta Ayoy.

Persembahan di Funtheque

Baru-baru ini, kelab malam terkemuka di ibu negara yang terletak di Bukit Bintang, Funtheque, memperkenalkan satu program baru iaitu Saturday Centre Stage Live 2008.

Ia bertujuan memberi platform dan membantu golongan artis tanah air yang kebanyakannya tidak berpeluang mengadakan persembahan di kelab-kelab malam.

Program tersebut akan bermula 22 Mac ini dengan bayaran sebanyak RM35 dikenakan terhadap peminat yang ingin mengikuti siri Saturday Centre Stage Live.

Antara artis yang tersenarai untuk menjayakan siri persembahan itu ialah Nurul, Rahmat Mega, Shamrin Fotograf, Dina Malaysian Idol, Elyana, Pretty Ugly, Nitrus serta 6ixth Sense.

Bagi 6ixth Sense, mereka akan membuat persembahan pada 10 Mei depan bergandingan dengan Aizat AF5.

No comments: